SEOUL, 11 Disember- Bekas Menteri Pertahanan Korea Selatan, Kim Yong-hyun, cuba membunuh diri sebelum beliau secara rasmi ditahan atas peranannya dalam operasi darurat tentera yang berlaku awal Disember ini, menurut pegawai kanan penjara pada Rabu.
Semasa sesi pendengaran parlimen, Ketua Komisioner Perkhidmatan Koreksional Korea, Shin Yong-hae, berkata bahawa Kim cuba membunuh diri beberapa minit sebelum pengumuman penahanannya.
"Bekas Menteri Pertahanan, Kim Yong-hyun cuba membunuh diri di Pusat Tahanan Seoul Dongbu menggunakan tali dari pakaiannya tidak lama sebelum tengah malam Selasa," kata Shin.
Kakitangan bilik kawalan segera campur tangan dan apabila pintu dibuka, Kim menghentikan percubaannya," jelas Shin.
Beliau menambah, Kim kini ditempatkan di sel yang selamat dan berada dalam keadaan sihat.
"Hasil pemeriksaan perubatan menunjukkan status kesihatan tahanan adalah baik dan beliau kini menjalani kehidupan normal di fasiliti ini," menurut kenyataan Kementerian Kehakiman kepada AFP.
Terdahulu, Presiden Yoon Suk Yeol telah mengisytiharkan darurat tentera pada 3 Disember, dengan menghantar tentera dan helikopter ke parlimen.
Bagaimanapun, perintah itu terpaksa ditarik balik beberapa jam kemudian selepas undian ahli parlimen menolak langkah tersebut.
Kim Yong-hyun meletak jawatan pada Khamis lalu dan secara rasmi ditahan pada Selasa atas tuduhan termasuk "terlibat dalam tugas penting semasa pemberontakan" dan "penyalahgunaan kuasa untuk menghalang pelaksanaan hak".- AFP