BAITULMAQDIS, 11 Disember –Pengeboman Israel menyasarkan aset ketenteraan Syria dan kemasukan tentera ke dalam zon penampan dipantau Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Bukit Golan menunjukkan kebimbangan serius rejim Israel, susulan kejatuhan pemerintahan rejim Bashar al-Assad.
“Kerajaan Israel… beroperasi pada senario terburuk dengan sedikit atau tiada nuansa,” kata penganalisis Asia Barat Chatham House di London, Yossi Mekelberg.
Menurut penganalisis, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu telah lama menganggap pemerintahan Bashar kurang memberi kesan buruk kepada Israel.
Ini meskipun Bashar menjalin pakatan bersama dengan Iran dan kumpulan Hizbullah Lubnan yang merupakan musuh ketat Israel. Rejim itu amat bimbang penggulingan Bashar akan membawa kepada situasi huru-hara. Namun kini pemimpin Israel dilihat amat takut kerana situasi itu telah tiba.
Susulan itu, Netanyahu pada hujung minggu lalu mengisytiharkan perjanjian gencatan senjata 1974 dengan Syria tidak sah, lantas mengarahkan tentera memasuki zon penampan yang dikawal PBB di sepanjang garis sempadan gencatan senjata.
Penyokong utama Israel, Amerika Syarikat mengatakan pencerobohan itu mestilah bersifat “sementara”. Ini selepas PBB menyatakan Israel telah melanggar perjanjian gencatan senjata 1974.
Sejak Bashar melarikan diri ke luar negara, tentera Israel telah melancarkan ratusan serangan udara dan laut menyasarkan ke semua aset ketenteraan di Syria, sama ada stor senjata kimia hingga ke pertahanan udara bagi memastikan kemudahan itu tidak jatuh ke tangan penentang kerajaan.
Lantaran itu, Utusan PBB ke Syria Geir Pedersen menggesa supaya pengeboman itu dihentikan segera.
Sementara itu, penganalisis Danny Citrinowicz menjangka Israel akan terus mengebom kawasan sasaran di Syria secara meluas.
“Apa sahaja atau sesuatu yang strategik di Syria akan dibom seperti peluru berpandu, kapal terbang, juga pusat penyelidikan saintifik (tentera),” kata Citrinowicz dari badan pemikir INSS di Tel Aviv.
“Kami tidak tahu siapa akan menentang kami dari Syria, sama ada Al-Qaeda, apa pun… kami perlu bersedia untuk melindungi orang awam kami”.
Menteri Pertahanan Israel, Katz berkata pihak tentera telah mengarahkan untuk mewujudkan "zon pertahanan yang bebas daripada senjata dan ancaman pengganas di selatan Syria".
Kebimbangan jangka pendek pihak Israel, kata Aviv Oreg, penganalisis di Meir Amit Center yang juga bekas pegawai perisikan tentera adalah sebarang stok senjata kimia dan kemudahan strategik lain yang masih ada.
Jelas Oreg sekiranya senjata itu jatuh ketangan mereka (pemberontakn atau penentang kerajaan),“ kita tidak boleh meramalkan apa yang akan mereka lakukan”.
Namun Mekelberg mempersoal serangan secara meluas pihak Israel dengan menyifatkan "ia bukanlah cara terbaik untuk membina hubungan dengan kerajaan baharu".
Kurdi dan Druze
Meskipun ada pihak optimis akan masa depan Syria, penganalisis Israel meramalkan Syria bakal menjadi sebuah negara berpecah-belah.
Eyal Pinko, pesara tentera dan pakar keselamatan berkata, dia menjangka Syria akan berpecah mengikut kumpulan etnik dan agama atau etnoagama.
“Saya tidak fikir akan ada Syria sekali lagi,” katanya. Dalam visi masa depan negara ini, Israel mungkin memilih untuk bekerjasama dengan beberapa etnik berbanding yang lain.
Pada Isnin, Menteri Luar Gideon Saar berkata etnik Kurdi Syria, yang disebut sebagai "kuasa penstabil", mesti dilindungi oleh masyarakat antarabangsa. Sebelum itu beliau ada menyatakan tentang kerjasama dengan Kurdi di timur laut dan Druze di selatan.
“Saya tidak fikir mereka akan memerintah Syria… tetapi Israel akan berdamai dengan sesiapa sahaja yang berminat, kata Pinko.
Namun Mekelberg menegaskah, tindakan ketenteraan di Golan dan usaha untuk memihak kepada etnik tertentu adalah satu kesilapan yang akan menjejaskan sebarang hubungan masa depan.
"Saya fikir ia berkemungkinan akan menjadi satu kesilapan. Jangan memihak kepada satu satu pihak, ia tidak akan membantu," jelas Mekelberg.
Rundingan nuklear
Sejak berdekad Syira menjadi sekutu rapat Iran dan negara itu menjadi penghubung penting yang menyediakan senjata kepada kumpulan Hizbullah.
Susulan serangan Israel baru-baru ini, Hizbullah kini berdepan kesukaran untuk mendapatkan bekalan senjata.
"Syria sangat penting. Saya berani mengatakan bahawa tanpa Syria bawah pengaruh Iran, sebenarnya tiada pakatan atau gabungan kuat untuk penentangan," kata Citrinowicz.
Risiko daripada pakatan (Syiah) – Hizbullah, Syria dan Iran, termasuk kumpulan penentang Iraq adalah jauh lebih rendah, kata Pinko.
Namun persoalan bagi pakar strategi Israel adalah bagaimana Iran bertindak balas terhadap kedudukannya yang semakin lemah.
Menurut Citrinowicz, Tehran mungkin akan terus berusaha dengan kadar segera mendapatkan senjata nuklear.
Minggu lalu, badan pemerhati nuklear PBB melaporkan, Iran merancang untuk meningkatkan pengeluaran uranium diperkaya secara besar-besaran, sehingga 60%; hanya sedikit sahaja lagi untuk mencapai tahap pengeluaran senjata nuklear.
Sekiranya Iran melakukan serangan, Israel mungkin memilih untuk mengambil tindakan ketenteraan, namun beberapa penganalisis berpandangan sebaliknya iaitu Iran yang dilihat lemah mungkin boleh dipujuk ke meja rundingan.
Mekelberg berkata: "Hantar mesej jelas -- paksi penentangan anda (Iran) semakin lemah dengan teruk, anda kehilangan Syria, bolehkah kita adakan perbincangan?"