fb fb fb fb fb

22 lagi terbunuh dalam serangan udara di utara Palestin

Bangunan musnah akibat serangan yang dilakukan rejim Zionis Israel/ AFP

GAZA, 11 Disember- Serangan udara Israel di bahagian utara wilayah Palestin mengorbankan sekurang-kurangnya 22 penduduk termasuk wanita dan kanak-kanak, lapor Agensi Pertahanan Awam Gaza.

"Sekurang-kurangnya 22 orang mati dalam serangan yang dilakukan rejim Zionis Israel selepas pengeboman di sebuah rumah milik keluarga Abu al-Tarabish berhampiran hospital Kamal Adwan di utara Gaza," kata jurucakap agensi Mahmud Bassal kepada AFP.

Menurut Bassal jet Israel melepaskan tiga peluru berpandu ke arah rumah itu sekitar tengah malam. Serangan berkenaan memusnahkan sepenuhnya struktur tiga tingkat itu.

Lebih 50 individu tinggal di rumah itu dan masih ramai terperangkap di bawah runtuhan berkenaan.

"Anggota penyelamat tidak dapat memindahkan individu yang maut akibat kejadian itu," kata Jaber Alian, 30 tahun.

Beliau memberitahu AFP terdapat beberapa pengeboman lain di bahagian utara wilayah itu pada waktu malam.

Selama beberapa minggu, tentera Israel menyasarkan serangan di utara Gaza, khususnya di Jabalia.

Sementara itu dalam serangan lain di tengah Gaza pada Rabu, sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh apabila sebuah pesawat Israel melanggar rumah keluarga Al-Bayoumi di kem pelarian Nuseirat.

Serangan Israel ke atas Gaza telah meragut sekurang-kurangnya 44,805 nyawa, majoritinya merupakan orang awam.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI