fb fb fb fb fb

Serangan Rusia : Empat maut, 22 cedera di Dnipro

Serangan peluru berpandu Rusia ke atas Dnipro di tengah Ukraine/ AFP

KIEV,1 Disember – Serangan peluru berpandu Rusia pada Isnin meragut empat nyawa dan mencederakan 22 individu di bandar Dnipro, wilayah tengah Ukraine, menurut gabenor wilayah itu.

Pegawai tempatan menyiarkan imej menunjukkan pasukan kecemasan bertindak di lokasi kejadian, serta kenderaan musnah dan bangunan mengalami kerosakan pada bahagian tingkap.

“Setakat ini, empat orang maut di Dnipro. Salam takziah kepada keluarga mangsa,” tulis Gabenor Wilayah Dnipropetrovsk, Vladyslav Gaivanenko di Telegram.

Sebelum peperangan, Dnipro dianggarkan mempunyai hampir satu juta penduduk, terletak kira-kira 100 kilometer dari garisan hadapan dan kerap menjadi sasaran serangan Rusia.

Rusia yang menyerang Ukraine pada Februari 2022, terus mara di wilayah industri Dnipropetrovsk, sambil memperluas kawalan ke atas wilayah Ukraine, ketika Amerika Syarikat mendesak Kiev untuk bersetuju dengan rundingan damai bersama Moscow.

Beberapa minggu kebelakangan ini, Kremlin meningkatkan serangan ke atas bandar-bandar Ukraine, manakala White House sedang berusaha memuktamadkan pelan damai dengan persetujuan Moscow dan Kiev.

Sebelum ini, pegawai Ukraine di wilayah timur Sumy melaporkan serangan dron Rusia telah meragut satu nyawa orang awam berusia 53 tahun.-AFP

ROSLINA BINTI DIN