ISTANBUL, 1 Disember - Venezuela pada Ahad mengumumkan yang ia mengemukakan aduan kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), menuduh Amerika Syarikat (AS) melakukan “pelanggaran kedaulatan” selepas Presiden Donald Trump mengisytiharkan bahawa ruang udara negara itu harus dianggap ditutup sepenuhnya, lapor Anadolu Ajansi.
Menteri Pengangkutan Venezuela Ramon Araguayan berkata di media sosial yang kenyataan Trump mengenai ruang udara Venezuela adalah satu pencabulan kedaulatan negara. Beliau berkata pihak berkuasa menghantar aduan bertulis kepada ICAO untuk menyatakan pendirian mereka.
“Tindakan sebegini merupakan campur tangan tidak sah, yang ditakrifkan sebagai kesalahan serius di bawah Lampiran 17 Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa. Ia membahayakan keselamatan operasi penerbangan dengan menyebarkan maklumat palsu. Tambahan pula, AS tidak mempunyai kuasa untuk membuat pengisytiharan sedemikian dan ia tidak mempunyai asas undang-undang,” katanya.
Araguayan menegaskan bahawa satu-satunya pihak berkuasa yang mempunyai kuasa terhadap ruang udara Venezuela ialah Pihak Berkuasa Penerbangan Kebangsaan (INAC), sambil berkata, “Tiada kuasa asing boleh menggantikan bidang kuasa Venezuela dalam apa jua cara.”
Menurut media tempatan, kerajaan Presiden Nicolas Maduro juga menghantar surat kepada Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), memberi amaran bahawa peningkatan kehadiran tentera AS di Caribbean menimbulkan ancaman serius terhadap kestabilan pasaran tenaga global.
Surat itu menekankan tekad Venezuela untuk mempertahankan sumber tenaga semula jadinya, serta menyatakan yang negara itu tidak akan tunduk kepada ugutan atau ancaman.
Jorge Rodriguez, presiden Perhimpunan Kebangsaan (AN), turut mengulas perkembangan dengan berkata, “Saya percaya anda akan melakukan usaha terbaik untuk membantu menghentikan serangan yang semakin agresif ini yang secara serius mengancam keseimbangan pasaran tenaga antarabangsa.”
Rodriguez turut merujuk kepada bot yang diserang oleh AS di Caribbean atas tuduhan pengedaran dadah, mendakwa rakyat Venezuela telah terbunuh dalam operasi itu.
Mengumumkan yang satu sesi luar biasa Perhimpunan Kebangsaan akan diadakan mengenai perkara itu dan beliau berkata “Beberapa minit lalu, kami bertemu dengan keluarga rakyat Venezuela yang dibunuh, secara haram dan tanpa proses undang-undang, dalam operasi ketenteraan AS yang tidak sah dan menyalahi undang-udang sejak 2 Sept.”- BERNAMA-ANADOLU