fb fb fb fb fb

Serangan Rusia di Kharkiv ragut empat nyawa, lebih 60 cedera

Foto Reuters

KIEV, 8 Jun- Sekurang-kurangnya empat maut dan lebih 60 orang lagi cedera termasuk seorang bayi dalam satu serangan Rusia ke atas bandar Kharkiv di timur Ukraine.

Menurut pegawai tempatan pada Sabtu, Rusia melancarkan serangan menggunakan dron, peluru berpandu serta bom pada waktu malam dan petang.

"Serangan Rusia ini bukan serangan balas, tetapi bertujuan untuk memusnahkan. Pemusnahan sepenuhnya terhadap kehidupan, itulah matlamat mereka," kata Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, dalam satu ucapan video.

Tentera Ukraine memaklumkan bahawa Rusia telah melancarkan 206 dron, dua peluru berpandu balistik serta tujuh lagi peluru berpandu jenis lain ke atas Ukraine sepanjang malam.

Pada sebelah petang, pesawat tentera Rusia sekali lagi menyerang Kharkiv menggunakan bom, serangan yang disifatkan Zelenskyy, sebagai "satu lagi tindakan pembunuhan kejam".

Gabenor Kharkiv, Oleh Syniehubov berkata salah satu kemudahan perindustrian awam berdepan kebakaran besar akibat serangan itu.

Beliau turut memaklumkan bahawa terdapat kemungkinan mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan.

Kharkiv, yang merupakan antara bandar terbesar di Ukraine, terletak hanya beberapa puluh kilometer dari sempadan Rusia dan telah berdepan serangan artileri berterusan sepanjang lebih tiga tahun perang.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM