fb fb fb fb fb

Ratusan berarak di Nice, desak perlindungan lebih baik terhadap lautan dunia

Foto Reuters

NICE, 8 Jun- Ratusan penunjuk perasaan berarak di kawasan ikonik Promenade des Anglais di Nice pada Sabtu bagi menuntut perlindungan lebih baik terhadap lautan dunia dan hidupan marin, menjelang Persidangan Lautan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNOC3).

Peserta perarakan yang dikenali sebagai 'Blue March' itu terdiri daripada orang awam serta ahli pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan antarabangsa.

Mereka melaungkan slogan serta membawa sepanduk yang mengecam aktiviti seperti penangkapan ikan dasar (bottom trawling), dengan Laut Mediterranean sebagai latar belakang.

Persidangan UNOC3, yang dianjurkan bersama oleh Perancis dan Costa Rica bertujuan untuk "mempercepatkan tindakan" dalam usaha melindungi lautan dunia.

Persidangan tersebut bakal menghimpunkan ketua-ketua negara, pembuat dasar, saintis serta NGO bagi membincangkan pelbagai isu, termasuk perubahan iklim, pencemaran, biodiversiti dan usaha memastikan akses manusia kepada sumber marin menjadi lebih lestari.

Dua edisi persidangan terdahulu telah dianjurkan pada tahun 2017 oleh Sweden dan Fiji di New York, serta pada tahun 2022 oleh Portugal dan Kenya di Lisbon.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM