GAZA CITY, 8 Jun- Sekurang-kurangnya 15 rakyat Palestin terbunuh manakala 50 lagi cedera selepas serangan udara dilancarkan di daerah Sabra, Bandar Gaza, di utara Semenanjung Gaza pada Sabtu.
Menurut saksi dan laporan media, lebih daripada satu peluru berpandu telah dilepaskan ke kawasan berkenaan.
Serangan itu dipercayai menyasarakan sebuah bangunan kediaman bertingkat, namun letupan turut menyebabkan kerosakan terhadap beberapa rumah lain di sekitarnya.
Tentera Israel setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung serangan tersebut.
Bagaimanapun, pihak tentera kemudiannya mengeluarkan amaran kepada penduduk di daerah berhampiran, Jabalia, supaya berpindah berikutan rancangan untuk melancarkan serangan ke kawasan tersebut selepas mendakwa ia merupakan kubu pejuang Hamas.
Menurut pasukan perubatan di Gaza, serangan udara Israel di seluruh wilayah itu pada Sabtu telah mengorbankan keseluruhan seramai 45 orang.- REUTERS