ROM, 8 Jun- Lebih 300,000 orang membanjiri jalan-jalan utama di ibu negara Itali pada Sabtu menyatakan solidariti, membantah perang di Gaza.
Perhimpunan dianjurkan oleh parti-parti pembangkang yang mengecam dakwaan kerajaan bersekongkol dalam konflik berkenaan.
Para peserta dilihat membawa sepanduk gergasi dengan tulisan "Bebaskan Palestin" dan lautan bendera putih, merah dan hijau berkibar megah dalam protes tersebut.
Perarakan bermula dari Piazza Vittorio di tengah-tengah bandar Rom menuju ke San Giovanni, mendesak agar kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Giorgio Meloni untuk bersuara dalam menghentikan keganasan yang berlaku di negara Asia Barat itu.
Ketua Parti Demokratik pembangkang utama, Elly Schlein, menyifatkan kehadiran besar tersebut sebagai "respons rakyat yang amat luar biasa" terhadap perang itu.
Pergerakan Five Star Movement serta pakatan Greens-Left Alliance turut menjadi penganjur bersama perhimpunan itu.
"Perhimpunan ini bertujuan untuk membantah pembunuhan rakyat Palestin. Tindakan kerajaan rejim Zionis di bawah pimpinan Netanyahu adalah tidak berperikemanusiaan.
Selain itu, kita nak tunjukkan kepada dunia bahawa ada "sebuah Itali yang lain". Itali yang tidak berdiam diri seperti kerajaan Meloni, Itali yang mahu keamanan, mahu gencatan senjata serta-merta, mahu pembebasan semua tebusan, bantuan kemanusiaan, dan mahu pengiktirafan negara Palestin," kata Schlein kepada wartawan.
Israel berdepan tekanan kuat dari masyarakat antarabangsa susulan situasi kemanusiaan yang terburuk di wilayah Palestin, dengan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Mei lalu memberi amaran bahawa seluruh penduduk Gaza berisiko menghadapi kebuluran.
Di Itali, Meloni berdepan tekanan daripada pembangkang untuk mengecam tindakan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, di Gaza.
Namun, kenyataan beliau dilihat hanya bersifat berhati-hati.- AFP