fb fb fb fb fb

Gempa 6.4 magnitud gegar Atacama, lebih 20,000 terputus bekalan elektrik

Gegaran turut merosakkan struktur bangunan dan lebih 20,000 pengguna terputus bekalan elektrik/Foto VIORY

SANTIAGO, 7 Jun – Satu gempa bumi berukuran 6.4 magnitud melanda wilayah Atacama di utara Chile pada Jumaat.

Kejadian itu sekali gus merosakkan struktur bangunan dan lebih 20,000 pengguna terputus bekalan elektrik.

Menurut Pusat Seismologi Kebangsaan (CSN), gempa itu berlaku pada kedalaman 65 kilometer dengan pusat gempa terletak kira-kira 54 kilometer di selatan Almagro.

Gegaran paling paling kuat dirasai di kawasan Diego de Almagro serta Copiapo.

Presiden Wilayah Atacama, Rodriogo Illanes berkata, antara aspek utama yang sedang dinilai ialah usaha memulihkan bekalan elektrik selain mengenal pasti kerosakan beberapa kediaman di Copiapo.

Rakaman menunjukkan kerosakan pada bangunan Pusat Budaya Atacama manakala pihak berkuasa tempatan turut memantau kejadian tanah runtuh kecil di beberapa kawasan.

Bagaimanapun, Perkhidmatan Hidrografi dan Oseanografi Tentera Laut Chile (SHOA) mengesahkan gempa tersebut tidak berpotensi mencetuskan tsunami.

Presiden Chile, Gabriel Boric memaklumkan beliau telah berhubung dengan pihak berkuasa wilayah dan mengesahkan tiada kematian dilaporkan setakat ini.

Chile yang terletak di Lingkaran Api Pasifik merupakan antara negara paling aktif secara seismik di dunia dengan antara 7,000 hingga 10,000 gempa direkodkan setiap tahun. - VIORY

GRACE AISYAH KEDAYAN