fb fb fb fb fb

Pusat jagaan warga emas terbakar, lelaki OKU 93 tahun maut

Gambar hiasan

MADRID, 7 Jun - Seorang lelaki berusia 93 tahun maut manakala 22 lagi cedera akibat terhidu asap dalam satu kebakaran yang berlaku di sebuah rumah penjagaan warga emas di Zaragoza, timur laut Sepanyol pada Jumaat.

Mangsa yang maut dipercayai tidak dapat menyelamatkan diri kerana mengalami kecacatan.

Menurut perkhidmatan kecemasan, kebakaran bermula di sebuah bilik di tingkat bawah rumah tersebut, yang dihuni dua lelaki.

“Seorang daripada mereka tidak mampu bergerak dan tidak sempat keluar,” kata Datuk Bandar Zaragoza, Natalia Chueca kepada media ketika melawat lokasi kejadian.

Seramai 22 individu, termasuk seorang lelaki berusia 46 tahun yang tinggal berdekatan dan membantu operasi menyelamat.

Kesemua mangsa dibawa ke hospital akibat terhidu asap selain mengalami pelbagai tahap kecederaan.

Saksi kejadian memaklumkan mereka bertindak pantas membantu pasukan bomba memecahkan tingkap dan membawa keluar penghuni yang terperangkap.

“Kami nampak asap dan terus bertindak. Kami pecahkan tingkap dengan tukul, kapak, kerusi bar... apa sahaja yang ada di tangan,” kata penduduk tempatan, Jesus Vadorrey kepada saluran Aragon TV.

Ketua Wilayah Aragon, Jorge Azcon turut merakamkan penghargaan kepada penduduk setempat atas keberanian mereka yang dipercayai telah menyelamatkan lebih ramai nyawa.

Pengarah rumah penjagaan itu memaklumkan kebakaran mungkin berpunca daripada pengecas bateri kerusi roda elektrik yang terlalu panas. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN