BANGKOK, 7 Jun- Thailand menutup sementara sempadan terbesarnya dengan Kemboja kepada pelancong tempatan, berkuatkuasa hari ini (Sabtu).
Menurut kenyataan Tentera Diraja Thai, penutupan itu susulan isu keselamatan dan kedaulatan Thailand.
Dilaporkan trak beroda enam dilarang melintasi sempadan antara Aranyaprathet di tenggara Thailand dengan Poipet di barat Kemboja.
Selain arahan mengurangkan waktu operasi lintasan.
"Rakyat Thailand dan Kemboja hanya dibenarkan menyeberang untuk tujuan kerja dan aktiviti perdagangan," demikian menurut kenyataan pihak tentera Thailand.
Lintasan sempadan Aranyaprathet-Poipet merupakan trafik darat paling banyak antara kedua-dua negara, dengan ribuan orang menggunakannya setiap hari.
Berdasarkan makluman Tentera Diraja Thai kepada AFP, sekatan hanya dikenakan kepada rakyat kedua-dua negara.
Bagaimanapun pelaksanaannya mungkin berbeza dari satu tempat ke tempat lain.
Dilaporkan enam pusat pemeriksaan sempadan lain turut mengetatkan waktu operasi.
"Aktiviti perdagangan kekal tidak terjejas. Pekerja Kemboja masih dibenarkan memasuki Thailand."
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri Thailand merangkap Menteri Pertahanan, Phumtham Wechayachai menyuarakan rasa kesal kerana Kemboja menolak cadangan untuk menarik balik angkatan tenteranya selepas insiden pada 28 Mei.-AFP