fb fb fb fb fb

Serangan Rusia di Kharkiv cederakan 12 orang

Rusia telah menyerang sebuah bangunan pangsapuri bertingkat di Kharkiv, bandar kedua terbesar Ukraine, pada petang Sabtu, mencederakan sekurang-kurangnya 12 orang / Foto Reuters

KIEV, 22 September - Rusia telah menyerang sebuah bangunan pangsapuri bertingkat di Kharkiv, bandar kedua terbesar Ukraine, pada petang Sabtu, mencederakan sekurang-kurangnya 12 orang serta memaksa sebahagian penduduknya dipindahkan, kata Datuk Bandar, Ihor Terekhov.

Kharkiv, yang terletak 30 kilometer dari sempadan Rusia, telah menjadi sasaran serangan berulang kali oleh Moscow sejak tentera Kremlin melancarkan pencerobohan pada Februari 2022.

Terekhov, dalam satu kenyataan di Telegram, memaklumkan bahawa Rusia menggunakan bom berpandu dalam serangan itu, dan operasi menyelamat sedang giat dijalankan.

Tambah beliau, banyak tingkap bangunan pecah, dan seramai 60 penduduk telah dipindahkan.

Penyiar awam Suspilne melaporkan bahawa bom tersebut jatuh di atas pokok berhampiran pintu masuk bangunan, menyebabkan beberapa kereta meletup dan terbakar.

Gabenor wilayah, Oleh Syniehubov, berkata seorang kanak-kanak adalah antara mangsa yang cedera.

Beliau turut memaklumkan bahawa terdapat dua serangan di Kharkiv serta satu serangan berhampiran bandar Izium di tenggara, yang menyebabkan dua rumah persendirian terbakar.

Pada Jumaat, Rusia melancarkan tiga serangan di Kharkiv yang mencederakan 15 orang.

Sementara itu, di selatan, serangan dron Rusia telah membunuh dua orang di bandar Nikopol, kata gabenor wilayah.

Di Kurakhove, yang menjadi tumpuan kemaraan Rusia di wilayah Donetsk, seorang terbunuh dalam serangan artileri, menurut kenyataan pendakwa raya wilayah.

Pihak berkuasa wilayah Sumy pula memaklumkan bahawa pesawat Rusia telah menyerang infrastruktur tenaga di bandar Shostka.

Sumy, yang sering menjadi sasaran serangan Rusia, terletak bersebelahan wilayah Kursk, di mana pasukan Ukraine melancarkan pencerobohan bulan lalu.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN