fb fb fb fb fb

Serangan peluru berpandu Rusia lumpuhkan tenaga Ukraine

Foto AFP

KIEV, 7 Mac – Rusia melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas infrastruktur tenaga Ukraine pada Jumaat, sehari selepas Kesatuan Eropah (EU) mengumumkan rancangan memperkukuh pertahanan blok tersebut.

Menteri Tenaga Ukraine, German Galushchenko menyatakan serangan itu bertujuan melemahkan rakyat Ukraine dengan merosakkan bekalan tenaga dan pemanasan.

Di Kharkiv, lima orang cedera termasuk seorang wanita diselamatkan dari runtuhan, manakala infrastruktur kritikal di Odesa dan Ternopil turut mengalami kerosakan.

Dalam perkembangan berkaitan, rundingan gencatan senjata antara Kiev dan Moscow dijangka bersambung pada Selasa di Arab Saudi, dengan Amerika Syarikat (AS) berusaha mencari penyelesaian awal.

Di Brussels, pemimpin EU meluluskan pelan memperkukuh pertahanan dengan peruntukan €800 bilion (AS$860 bilion) serta cadangan pinjaman EU sebanyak €150 bilion bagi negara anggota.

Langkah itu diambil susulan kebimbangan terhadap komitmen AS dalam NATO selepas Presiden Donald Trump mempertikaikan peranan negaranya dalam keselamatan Eropah.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN