fb fb fb fb fb

Serangan ke atas Yaman bercanggah dengan dasar AS, UK - Iran

Foto Reuters

TEHRAN, 4 Februari - Iran pada Ahad mengecam serangan terbaru Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) ke atas Yaman dengan mengatakan niat mereka "bercanggah" dengan apa yang diisytiharkan untuk mengelakkan konflik Timur Tengah yang lebih luas.

Serangan ini "jelas bercanggah dengan dakwaan berulang Washington dan London bahawa mereka tidak mahu peluasan perang dan konflik di rantau ini," kata jurucakap Kementerian Luar Iran, Nasser Kanani, dalam satu kenyataan.

Nasser menuduh Amerika Syarikat dan Britain "menimbulkan kekacauan, ketidakamanan dan ketidakstabilan" dengan menyokong Israel dalam perangnya menentang Hamas di Semenanjung Gaza.

Serangan ke atas Houthi yang disokong Iran di Yaman sebagai tindak balas kepada serangan kumpulan itu terhadap perkapalan antarabangsa di Laut Merah adalah "ancaman kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa," kata Kanani.

AS dan UK pada Sabtu menyerang berpuluh-puluh sasaran di Yaman atas serangan Houthi di Laut Merah, yang dikatakan sebagai solidariti dengan penduduk Palestin di Gaza yang dilanda peperangan.

Sehari sebelumnya, tentera AS menyerang sasaran di Syria dan Iraq sebagai membalas dendam terhadap serangan dron pada 28 Januari ke atas pangkalan di Jordan yang membunuh tiga tentera AS.

Presiden Joe Biden telah menyalahkan "kumpulan militan radikal yang disokong Iran" untuk serangan itu, namun berkata AS tidak mahu konflik yang lebih meluas berlaku di Timur Tengah.

"Saya tidak fikir kita memerlukan perang yang lebih meluas di Timur Tengah. Bukan itu yang saya cari," kata Biden pada Selasa.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN