fb fb fb fb fb

Serangan ke atas loji tenaga nuklear boleh cetus bencana radiasi

Ketua IAEA, Rafael Grossi ketika bercakap pada sesi tergempar Majlis Keselamatan PBB - Foto AFP

NEW YORK, 21 Jun - Serangan Israel ke atas loji tenaga nuklear Bushehr di Iran boleh mencetuskan bencana radiasi berskala besar seterusnya turut memberi kesan kepada negara-negara sempadan.

Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi, memberi amaran bahawa loji Bushehr yang terletak di pesisir Teluk mengandungi beribu kilogram bahan nuklear dan sebarang serangan langsung boleh menyebabkan pelepasan radioaktif yang sangat tinggi.

Dalam sesi tergempar Majlis Keselamatan PBB, Grossi mendedahkan bahawa beberapa negara di rantau itu telah menghubungi beliau dan menyuarakan kebimbangan mereka berkaitan perkara ini.

"Negara-negara di rantau ini telah menghubungi saya secara langsung sejak beberapa jam yang lalu untuk menyatakan kebimbangan mereka, dan saya ingin menyatakan dengan jelas dan tegas, sekiranya berlaku serangan ke atas loji kuasa nuklear Bushehr, akan mengakibatkan pelepasan radioaktiviti yang sangat tinggi," ujar beliau.

Beliau turut memberi amaran bahawa serangan ke atas talian bekalan elektrik ke loji itu juga boleh menyebabkan teras reaktor cair serta memerlukan pemindahan besar-besaran, malah langkah perlindungan seperti pengambilan iodin dan pemantauan radiasi di kawasan sejauh beberapa ratus kilometer juga perlu dilaksanakan.

Grossi menutup kenyataannya dengan menawarkan diri untuk menjadi perantara diplomatik dan menjamin pemantauan ketat seterusnya meletakkan teknologi nuklear Iran di bawah kawalan antarabangsa.

"IAEA boleh menjamin melalui sistem pemeriksaan yang ketat bahawa senjata nuklear tidak akan dibangunkan di Iran," tegas beliau lagi. - AFP

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM