fb fb fb fb fb

Hakim keluarkan perintah sementara benarkan Harvard terima pelajar antarabangsa

Foto AFP

NEW YORK, 21 Jun - Seorang hakim persekutuan Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat mengeluarkan perintah menghentikan sementara usaha Presiden Donald Trump, daripada menghalang Universiti Harvard menerima pelajar antarabangsa.

Perintah ini dikeluarkan oleh Hakim Daerah, Allison Burroughs yang memutuskan pelajar antarabangsa tetap dibenarkan untuk melanjutkan pelajaran di universiti tersebut, sementara kes saman Harvard terhadap kerajaan persekutuan masih berjalan di mahkamah.

Trump sebelum ini telah memotong dana kerajaan kepada Harvard dan berhasrat mahu mengeluarkan institusi itu daripada sistem pendaftaran imigresen pelajar serta mengeluarkan arahan kepada kedutaan untuk tidak meluluskan visa pelajar antarabangsa, namun dalam masa sama sedang membuat rundingan bersama pihak universiti terbabit.

“Kami sedang berunding dengan Harvard dan mungkin satu perjanjian penting akan diumumkan dalam tempoh seminggu atau lebih.

Jika satu persetujuan dapat dicapai daripada rundingan ini, ia akan menjadi satu sejarah dan amat baik untuk negara kita,” kata Trump dalam satu kenyataan di Truth Social tanpa mendedahkan butiran perjanjian itu.

Pada 22 Mei lalu, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS membatalkan pensijilan Harvard dalam Program Pelajar dan Pertukaran Pelawat (SEVP), menyebabkan kira-kira 7,000 pelajar asing di universiti berprestij itu berpindah ke institusi lain atau berisiko berada di AS secara haram.

Harvard kemudian memfailkan saman terhadap jabatan berkenaan dan menyifatkan tindakan Trump adalah sebagai balasan kerana universiti itu enggan tunduk kepada campur tangan kerajaan dalam hal ehwal pentadbiran, pengajaran serta pandangan politik fakulti serta pelajar.

Sebelum ini, Harvard telah dua kali mendapat perintah mahkamah untuk menghalang pelaksanaan tindakan kerajaan sebelum hakim sekali lagi menyambung perlindungan itu dengan perintah sementara pada Jumaat. - AFP

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM