TAFTAN, 21 Jun – Aktiviti perdagangan di sempadan Taftan antara Pakistan dan Iran lumpuh sepenuhnya apabila laluan utama itu kekal ditutup untuk hari keenam berturut-turut.
Keadaan itu menyebabkan puluhan lori terkandas dan peniaga mengalami kerugian besar setiap hari.
Penutupan pintu sempadan tersebut bermula sejak Ahad (15 Jun) lalu selepas Pakistan mengambil tindakan menggantung operasi berikutan ketegangan yang semakin meningkat antara Iran dan Israel.
Sempadan Taftan yang menjadi nadi perdagangan antara kedua-dua negara adalah laluan bagi urusan harian melibatkan bekalan bahan api, makanan, dan barangan keperluan isi rumah, namun laluan itu seolah-olah lumpuh sepenuhnya apabila berpuluh-puluh lori tersadai tanpa kepastian tentang pembukaan semula sempadan.
Pemandu lori memberitahu, mereka telah terkandas selama lima hari dan kerugian yang ditanggung mencecah kira-kira 20,000 rupee sehari bagi setiap lori sehingga menyebabkan penduduk berdepan kekurangan bekalan asas.
Sementara itu, peniaga tempatan memaklumkan bahawa kira-kira 90 peratus barangan di kawasan Taftan biasanya diimport dari Iran.
“Penutupan sepenuhnya ini sangat menjejaskan perniagaan kami. Tidak ada tanda-tanda bila urusan perdagangan akan bersambung,” katanya.
Situasi ini turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat setempat yang bergantung kepada aktiviti perdagangan lintas sempadan sebagai sumber utama ekonomi. - REUTERS