BUNDASE, 21 Jun – Pihak berkuasa Ghana pada Jumaat memusnahkan sebanyak 3.3 tan kokain bernilai lebih AS$350 juta (RM1.65 bilion), rampasan terbesar dalam sejarah negara itu.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah NACOC, Alexander Twul-Barimah, tahap ketulenan kokain yang dirampas itu adalah antara 50 peratus hingga 70 peratus, disifatkan sebagai ketulenan yang tinggi.
Pemusnahan dadah dilakukan di bawah kawalan keselamatan yang ketat dan turut melibatkan dadah jenis lain seperti heroin dan metamphetamin.
“Kami sentiasa berwaspada. Apa juga taktik yang mereka (pembekal dadah) guna, kami tetap bersedia,” kata Twul-Barimah kepada media di lokasi.
Dadah berkenaan dirampas Mac lalu dalam satu operasi bersama oleh Biro Perisikan Kebangsaan (NIB) dan Suruhanjaya Kawalan Narkotik (NACOC) di Cape Coast, wilayah tengah Ghana.
Kokain itu ditemui disorok di bawah timbunan pasir dalam sebuah lori tipper, dipercayai sedang dalam perjalanan untuk penghantaran dari Wilayah Barat ke ibu negara, Accra.
Sejak sekian lama Afrika Barat telah menjadi laluan transit utama bagi penghantaran dadah dari Amerika Selatan ke Eropah dalam jumlah yang besar.
Sebelum ini, Presiden Ghana, John Mahama, telah berikrar untuk menamatkan peranan negara itu sebagai laluan transit bagi penyeludupan dadah haram.
Beliau berulang kali menegaskan komitmen kerajaan untuk memperkukuh kawalan sempadan dan memperhebat tindakan undang-undang terhadap sindiket pengedaran dadah. - REUTERS