KYIV, 24 November - Empat maut, 17 yang lain cedera dalam serangan dron Rusia di bandar Kharkiv, Ukraine pada Ahad.
Serangan itu berlaku ketika wakil Amerika Syarikat, Ukraine dan Eropah berada di Geneva bagi membincangkan pelan damai bagi menamatkan perang yang berlarutan selama hampir empat tahun di Ukraine.
"ketika ini, 17 orang disahkan cedera. Empat lagi meninggal dunia," kata Datuk Bandar Kharkiv, Terekhov said menerusi hantaran di Telegram.
"Keadaannya benar-benar mengerikan (kerana) walaupun terdapat rundingan, tentera Rusia menyerang harta benda awam, infrastruktur awam dan bangunan kediaman ketika penduduk sedang menderita, ” tambahnya lagi
Sementara itu, ketua pentadbiran tentera wilayah Kharkiv, Oleg Synegubov menggambarkan serangan itu sebagai “besar-besaran”.
Agensi perkhidmatan kecemasan memaklumkan, serangan dron terhadap dua daerah di Kharkiv telah menyebabkan kebakaran dan kemusnahan bangunan.
“Tiga bangunan kediaman dan sebuah kemudahan infrastruktur terbakar,” menurut agensi itu.
Terdahulu, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio dan ketua delegasi Ukraine, Andriy Yermak menyatakan rundingan di Geneva pada Ahad telah mencapai kemajuan.
Presiden AS, Donald Trump memberi tempoh hingga 27 November kepada Ukraine untuk menyatakan persetujuan terhadap pelan damai bagi menamatkan konflik dengan Rusia.
Kyiv, bagaimanapun memohon pindaan kepada draf yang menerima beberapa tuntutan utama Rusia, dengan pelan 28 perkara itu mengkehendaki Ukraine menyerahkan wilayah, mengurangkan tenteranya dan berikrar untuk tidak menyertai NATO. - AFP