fb fb fb fb fb

Hizbullah sahkan Haitham Ali Tabtabai maut dalam serangan Israel

Komander kanan Hizbullah, Haitham Ali Tabtabai maut dalam serangan Israel di Lubnan / Foto REUTERS

BEIRUT, 24 November - Hizbullah mengesahkan kematian komander kanannya, Haitham Ali Tabtabai yang turut dikenali sebagai Sayyed Abu Ali dalam serangan Israel yang menyasarkan sebuah bangunan kediaman di Haret Hreik dekat pinggir selatan Beirut. 

Menerusi satu kenyataan rasmi, Hizbullah menyifatkan serangan itu sebagai “satu tindakan khianat oleh tentera pencerobohan Israel” dan mengesahkan bahawa Tabtabai telah “syahid sebagai pengorbanan untuk Lubnan dan rakyatnya.”

Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan lima orang maut, manakala 28 orang turut cedera dalam serangan terbabit.

Sementara itu, video menunjukkan bangunan dan kenderaan yang rosak selepas serangan dilancarkan rejim Zionis.

Anggota parlimen Hizbullah, Ali Ammar berkata, sejak perjanjian gencatan senjata dimeterai antara gerakan itu dengan Israel yang berkuat kuasa pada November 2024, Israel terus berdegil dan berterusan melakukan pencerobohan dengan menyasarkan bangunan, penduduk dan orang awam.

Serangan itu adalah yang pertama dalam tempoh beberapa bulan, menyasarkan lokasi kediaman pegawai-pegawai Hizbullah.

Sementara itu, seorang pegawai kanan Amerika Syarikat (AS) mendakwa, Israel tidak memaklumkan AS terlebih dahulu mengenai serangan tersebut, menurut seorang wartawan Axios pada Ahad dalam satu hantaran di X.

AS mengenakan sekatan ke atas Tabtabai pada tahun 2016, selepas mengenal pasti beliau sebagai seorang pemimpin penting Hizbullah dan menawarkan ganjaran sehingga $5 juta Dolar untuk maklumat mengenainya. - REUTERS

EMMI NORALIZA ADNAN