fb fb fb fb fb

Serangan dron, peluru berpandu Rusia rosakkan kemudahan kuasa Ukraine

Pasukan penyelamat di tapak bangunan kediaman yang rosak, berikutan serangan dron Rusia/REUTERS

KIEV, 29 Mac- Serangan peluru berpandu dan dron Rusia ke atas loji kuasa haba dan hidro di tengah dan barat Ukraine menyebabkan infrastruktur itu rosak, kata pengendali grid kuasa Ukrenergo pada Jumaat.

"Pada waktu malam, Rusia menyerang lagi kemudahan tenaga dalam serangan besar-besaran," kata Ukrenergo menerusi aplikasi Telegram.

"Loji kuasa terma dan hidroelektrik di kawasan tengah dan barat telah rosak."

Pegawai wilayah berkata tentera Rusia telah menyerang infrastruktur itu di daerah Kamianske berhampiran bandar Dnipro.

Sekurang-kurangnya seorang cedera dalam serangan berkenaan, tambah mereka.

Menteri Tenaga Ukraine German Galushchenko berkata, kemudahan kuasa di wilayah Dnipropetrovsk, Hijrah dan Cherkasy turut diserang.

"Dron dan peluru berpandu menyerang kemudahan penjanaan elektrik," kata Gelushchenko menerusi satu hantaran di Facebook.

Tentera Ukraine berkata, tentera udaranya telah memusnahkan 58 dron serangan yang dilancarkan Rusia.

"Musuh melancarkan peluru berpandu dan serangan udara yang kuat terhadap sektor bahan api dan tenaga Ukraine, menggunakan pelbagai jenis peluru berpandu dan serangan dron," kata komander itu.

Bagaimanapun Reuters tidak dapat mengesahkan laporan itu.

Televisyen Ukraine berkata, letupan kedengaran di wilayah Ivano-Frankivsk dan Khmelnytskyi serta bandar Dnipro ketika peluru berpandu Rusia dikesan di ruang udara Ukraine.

Firma janakuasa swasta terbesar DTEK berkata, tiga loji kuasa habanya telah diserang.

"Peralatan itu rosak teruk," katanya.

"Selepas serangan tamat, jurutera kuasa segera mula membaiki kerosakan."

Pengedar kuasa Ukraine Yasno berkata, minggu ini bahawa DTEK kehilangan kira-kira separuh kapasitinya berikutan serangan peluru berpandu dan dron itu.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI