fb fb fb fb fb

Inflasi Sri Lanka dalam keadaan terendah sejak 2022

Bank Pusat Sri Lanka / Foto Reuters

COLOMBO, 29 Mac - Pejabat Statistik Sri Lanka pada Jumaat berkata keadaan inflasi yang dialami negara itu kini perlahan kepada 0.9 peratus pada Mac.

Peratusan itu merupakan kadar inflasi terendah sejak krisis ekonomi melanda negara itu pada April 2022.

Negara kepulauan itu gagal melunaskan hutang asingnya yang bernilai AS$46 bilion pada April 2022 selepas pemansuhan pertukaran matawang asing dan menyebabkan Sri Lanka tidak dapat mengimport makanan, bahan api dan keperluan lain.

Bulan ini, bacaan inflasi daripada penanda aras Indeks Harga Pengguna Colombo merekodkan penurunan tertinggi daripada hampir 70 peratus pada September 2022.

Bank Pusat Sri Lanka minggu ini mengurangkan kadar pinjaman daripada 10 peratus kepada 9.5 peratus yang merupakan pengurangan pertama dalam tempoh empat bulan.

Tindakan tersebut dikatakan akan membangkitkan semula aktiviti ekonomi secara berterusan.

Pada April 2022, bantahan secara besar-besaran rakyat Sri Lanka akibat krisis ekonomi negara itu telah menyebabkan Presiden ketika itu Gotabaya Rajapaksa disingkirkan selepas penunjuk perasaan menyerbu kediamannya.

Penggantinya, Ranil Wickremesinghe telah menaikkan cukai secara mendadak, mengurangkan subsidi tenaga dan berjaya memperolehi pakej menyelamat AS$2.9 bilion daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Kerajaan Sri Lanka dan IMF berkata Asia Selatan itu kini bangkit secara perlahan-lahan daripada krisis ekonomi yang dialami hasil langkah penjimatan yang diterapkan negara itu.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD