fb fb fb fb fb

Rangkaian kereta api laju Korea Selatan, bantu tingkat kadar kelahiran

Foto hiasan/REUTERS

SEOUL, 29 Mac- Korea Selatan melancarkan perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi yang akan mengurangkan masa perjalanan antara pusat bandar Seoul dan kawasan luar bandar. Pegawai projek turut berharap dengan kewujudan perkhidmatan itu, ia akan menggalakkan lebih ramai belia untuk mempertimbangkan rumah di luar bandar dan merancang untuk mempunyai bayi.

Korea Selatan mempunyai kadar kesuburan paling rendah di dunia berikutan kebanyakan belia sering menyebut perjalanan jauh dan perumahan yang sempit dan mahal di Seoul menyebabkan golongan itu tidak merancang untuk berkeluarga.

Kadar kelahiran di Seoul adalah lebih rendah daripada purata negara, dan kerajaan telah cuba meningkatkan bilangan bayi baru lahir menerusi pemberian subsidi.

Para pegawai kini meletakkan harapan mereka pada Great Train eXpress (GTX), projek kereta api bawah tanah bernilai 134 trilion won ($99.5 bilion) yang dijangka siap menjelang 2035. Perkhidmatan itu akan menyediakan enam laluan yang menghubungkan Seoul ke beberapa kawasan terpencil.

Presiden Yoon Suk Yeol merasmikan seksyen pertama perkhidmatan itu pada Jumaat. Ia akan mengurangkan masa berulang-alik dari Suseo di ibu kota ke bandar satelit Dongtan kepada 19 minit berbanding 80 minit sekarang dengan menaiki bas.

Perjalanan lebih singkat itu "akan membolehkan orang ramai meluangkan lebih banyak masa bersama-sama keluarga pada waktu pagi dan petang," tambahnya.

Laluan itu akan mula beroperasi pada Sabtu, dan apabila beroperasi sepenuhnya, GTX akan menjadi salah satu sistem bawah tanah terpantas di dunia, dengan kereta api bergerak pada kelajuan sehingga 180 km sejam (112 mph), kata pegawai.

Menurut penganalisis, untuk memiliki perumahan di Korea Selatan adalah mahal, dan menunjukkan peningkatan 45 peratus pada harga median dalam tempoh lima tahun.

Menteri Tanah Infrastruktur dan Pengangkutan Korea Selatan Park Sang-woo memberitahu Reuters bahawa GTX membolehkan golongan muda untuk mempertimbangkan rumah yang jauh dari ibu negara tanpa perlu menghabiskan berjam-jam berulang alik.

Masa mereka pulang untuk bersama-sama keluarga mereka, tambahnya.

"Masa perjalanan yang panjang kira-kira dua jam perjalanan pulang, juga menyebabkan pasangan di Korea Selatan sukar untuk merancang keluarga. Ideanya adalah untuk memberi lebih banyak masa lapang kepada orang ramai selepas bekerja," katanya.

Bagaimanapun beberapa penganalisis berkata, GTX boleh menyumbang kepada kemerosotan di kawasan luar bandar Korea Selatan. Ia dijangka akan membawa lebih ramai penghijrah ke ibu kota yang sesak itu.

Sementara itu Profesor Kejuruteraan Perancangan Bandar dan Pengangkutan di Universiti Kyonggi Kim Jin-yoo berkata, perkara paling penting ialah melengkapkan kawasan lain dengan infrastruktur awam yang serupa.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI