fb fb fb fb fb

Jepun sambung bantuan kemanusiaan terhadap UNRWA

Foto Reuters

TOKYO, 29 Mac - Jepun bersedia untuk menyambung kembali pembiayaan bantuan kemanusiaan terhadap Agensi Pelarian Palestin (UNRWA), sebuah organisasi yang mengkoordinasi segala bantuan ke Gaza, kata jurucakap kerajaan berkenaan.

Jepun sebelum ini merupakan penyumbang keenam terbesar agensi berkenaan telah menghentikan pembiayaan selepas Israel mendakwa terdapat 12 orang pekerja UNRWA terlibat dalam Operasi Ribut Al-Aqsa yang dilancarkan pejuang Hamas pada 7 Oktober tahun lepas.

Menteri Luar Jepun, Yoko Kamikawa telah bertemu dengan Ketua UNRWA, Phillippe Lazzarini pada Khamis bagi membincangkan langkah-langkah yang bakal diambil oleh organisasi berkenaan bagi memperkasakan isu tatakelola dan ketelusan.

"Jepun dan UNRWA mengesahkan kedua-dua pihak dalam rundingn akhir bagi memastikan sumbangan Jepun itu dapat disambung", kata Kementerian Luar Jepun dalam satu kenyataan.

Laporan media Jepun berkata penyambungan semula pembiayaan yang digantung pada Januari lalu dijangka bermula pada April depan.

Penggantungan pembiayaan secara tiba-tiba telah mengancam usaha UNRWA untuk menyampaikan bantuan di Gaza, yang sebelum ini telah diberi amaran oleh PBB tentang kemungkinan berlakunya kebuluran di wilayah berkenaan.

Sementara itu, Ketua UNRWA Lazzarini berkata pada Selasa bahawa agensi itu mempunyai dana yang mencukupi untuk terus beroperasi sekurang-kurangnya sehingga akhir Mei.

Beberapa negara seperti Australia, Kanada, Sweden dipercayai telah menyambung semula bantuan kemanusiaan terhadap UNRWA bulan ini.- AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD