fb fb fb fb fb

Serangan di Ukraine, enam cedera termasuk seorang kanak-kanak

Serangan Rusia di Smila mengakibatkan kebakaran di bangunan kediaman/ REUTERS

KIEV, 29 Jun- Rusia melancarkan serangan ke atas wilayah barat, selatan dan tengah Ukraine menggunakan ratusan dron serta peluru berpandu jenis balistik dan pelayaran.

Menurut pihak berkuasa tempatan, serangan itu mengakibatkan kemusnahan kediaman, kemudahan awam dan mencederakan sekurang-kurangnya enam orang.

Gabenor wilayah Lviv, Poltava, Mykolaiv, Dnipropetrovsk dan Cherkasy melaporkan letupan kuat berlaku.

Tentera Ukraine memaklumkan kira-kira 500 senjata udara pelbagai jenis digunakan dalam serangan tersebut, termasuk dron tempur serta peluru berpandu pelayaran dan balistik di enam lokasi berbeza.

Gabenor Wilayah Cherkasy, Ihor Taburets, memaklumkan bahawa enam individu termasuk seorang kanak-kanak cedera dalam serangan di bandar Smila. Tiga bangunan kediaman bertingkat dan sebuah kolej turut mengalami kerosakan akibat serangan peluru berpandu.

Di wilayah Lviv pula, gabenor memaklumkan serangan menyasarkan infrastruktur kritikal, namun tidak memberikan butiran lanjut mengenai kesan kerosakan atau kecederaan.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI