SHANGHAI, 29 Jun- Pelancong yang mengunjungi Shanghai kini boleh menggunakan kad bank antarabangsa utama untuk terus memasuki sistem Metro Shanghai tanpa perlu beratur di mesin tiket atau kaunter, bermula Sabtu.
Kemudahan terbaharu itu membolehkan pengguna menyentuh kad masing-masing di pintu masuk semua stesen metro, termasuk Visa, Mastercard, American Express, JCB, dan UnionPay.
Selain itu, dompet digital fizikal China seperti kad dan peranti boleh pakai (wearables) juga turut diterima.
Langkah itu dijangka memudahkan lagi perjalanan pelancong asing yang baru tiba di Shanghai, seiring dengan usaha pihak berkuasa untuk mempertingkatkan kemudahan pembayaran dalam sistem pengangkutan awam.
Di Stesen Yuyuan, antara hab pelancongan paling sibuk di bandar itu, kelihatan ramai pelancong asing menggunakan kad bank antarabangsa untuk menaiki tren tanpa sebarang kesulitan.
Berbanding sebelum ini, pelancong luar terpaksa beratur di kaunter untuk membeli tiket secara tunai atau menggunakan kad asing melalui mesin terminal jualan (POS).
"Ia sangat bagus, terutamanya untuk kami dari Eropah. Kami banyak guna kad Visa. Jadi, dengan sistem ini, prosesnya lebih mudah dan cepat. Sebelum ini, sukar juga nak cari mesin atau kaunter tiket," kata pelancong perniagaan dari Itali bernama Daniel.
Penambahbaikan sistem itu melibatkan naik taraf perisian pintu masuk sedia ada dan pembangunan sistem data tiket yang lebih canggih.
"Naik taraf kali ini memerlukan integrasi pelbagai rangkaian kad. Untuk memastikan semua kad daripada pelbagai rangkaian berfungsi dengan lancar pada satu peranti, pembangunan dan penyelarasan teknikal yang rapi diperlukan," kata Penolong Pengurus Besar Cawangan China UnionPay Shanghai, Peng Cheng.
Langkah tersebut merupakan usaha Shanghai untuk menjadi destinasi mesra pelancong antarabangsa, khususnya dalam aspek teknologi dan kemudahan perkhidmatan awam.- REUTERS