SEVILLE, 29 Jun- Sepanyol meningkatkan langkah keselamatan di seluruh bandar Seville menjelang Sidang Kemuncak Keempat Persidangan Antarabangsa Mengenai Pembiayaan Pembangunan yang akan bermula pada Isnin ini (30 Jun).
Bandar itu yang kini dilanda gelombang haba menjadi tuan rumah kepada ketua-ketua negara, menteri kewangan, ketua eksekutif syarikat (CEO) serta pemimpin institusi antarabangsa bagi membincangkan hala tuju pembiayaan pembangunan global untuk tempoh sedekad akan datang.
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sánchez dijadualkan menyertai sidang kemuncak berprofil tinggi yang berlangsung dari 30 Jun hingga 3 Julai, bersama tokoh antarabangsa seperti Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen dan Perdana Menteri Barbados Mia Mottley.
Agenda persidangan akan menumpukan kepada isu pembiayaan perubahan iklim, pembaharuan hutang global serta usaha menggerakkan modal awam dan swasta bagi menangani ketidaksamarataan yang berterusan.
Polis telah mempertingkatkan kehadiran di sekitar lokasi utama termasuk Pusat Persidangan dan Pameran FIBES serta CaixaForum Sevilla yang menjadi lokasi acara pembukaan.
Kerajaan Sepanyol menyifatkan persidangan itu sebagai detik penting bagi memperkukuh kerjasama antarabangsa ke arah pembangunan mampan dan keadilan ekonomi.- REUTERS