fb fb fb fb fb

Serang pangkalan tentera, 16 penjenayah ditembak mati

Pasukan tentera mara ke zon konflik di Guerrero, Mexico./ Foto AFP

MEXICO, 25 Oktober- Pasukan tentera menembak mati 16 penjenayah di selatan Guerrero, salah sebuah negeri termiskin di Mexico.

Pertempuran mula tercetus di bandar Tecpan de Galeana, berhampiran pantai Pasifik, di mana dua terbunuh dan empat lagi cedera.

Kumpulan penjenayah terbabit kemudiannya bertindak menyerang pangkalan tentera di kawasan sama, serangan balas oleh pihak tentera berjaya membunuh 14 individu yang bersenjata lengkap.

Guerrero dibelenggu keganasan sejak bertahun-tahun yang dikaitkan dengan kartel pengedaran dadah.

Menurut kenyataan sekretariat pertahanan negara itu SEDENA, di negeri Guanajuato pula, tiga pegawai polis cedera akibat letupan bom kereta.

Letupan kuat itu turut merosakkan balai polis dan beberapa buah rumah.

"Keganasan didakwa berpunca konflik antara kumpulan penjenayah Santa Rosa de Lima dan kartel Jalisco, salah satu kumpulan pengganas yang paling berpengaruh di seluruh Mexico," menurut kenyataan itu.

Operasi udara dan darat dilancarkan bagi memburu saki baki ahli kumpulan penjenayah terbabit.

Isnin lepas, tentera Mexico dilaporkan turut menembak mati 19 individu disyaki ahli kartel Sinaloa selepas diserang di barat laut negara itu.

Mexico telah mengalami lebih daripada 450,000 pembunuhan berkaitan dadah sejak 2006. -AFP

Trainee2