fb fb fb fb fb

Serang kem pelarian Rafah, Israel dikecam masyarakat global

Kesan serangan Israel ke atas kem pelarian di Rafah/AFP

RAFAH, 28 Mei- Serangan terbaharu tentera Israel ke atas kem pelarian di Rafah terus mendapat kecaman meluas di seluruh dunia.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres dalam kenyataan mengecam keganasan yang meragut 45 nyawa dan mencederakan 249 orang itu.

Beliau berkata, serangan telah membunuh ramai orang awam yang tidak bersalah yang hanya mencari perlindungan daripada konflik berdarah.

Beliau turut mendesak supaya keganasan dihentikan, memandangkan tiada lagi tempat selamat di Gaza.

Sementara itu, Kesatuan Eropah (EU) menerusi Ketua Dasar Luarnya, Josep Borrell turut mengutuk sekeras-kerasnya keganasan di Rafah.

Tegas beliau, tentera Israel harus menghentikan serangan ke atas Rafah, selaras dengan arahan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). EU akan menuntut penjelasan daripada Israel berhubung tindakannya itu.

Manakala, sekutu rapat Israel, Amerika Syarikat pula menggesa rejim zionis sedaya upaya melindungi orang awam.

Menurut Jurucakap Majllis Keselamatan Negara, Washington secara aktif berhubung dengan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dan rakan kongsi di lapangan bagi menilai kejadian yang berlaku.

Di Perancis, Presiden Emmanuel Macron menerusi platform X menggesa operasi ketenteraan Israel dihentikan. Katanya tiada kawasan selamat di Rafah untuk orang awam Palestin.

Beliau menyeru Israel untuk menghormati sepenuhnya undang-undang antarabangsa dan melaksanakan gencatan senjata segera.

Seterusnya di Turkiye, Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata Turkiye akan melakukan apa sahaja dan pembunuh perlu bertanggungjawab dan tidak mempunyai sifat berperikemanusiaan.

Kementerian Luar Mesir pula menyeru Israel untuk melaksanakan langkah-langkah yang diperintahkan oleh ICJ mengenai penamatan serta-merta operasi ketenteraan di Rafah.

Ia juga mengecam peristiwa tragis itu yang menyasarkan orang awam yang lemah dan dasar yang bertujuan untuk meningkatkan jumlah kematian dan kemusnahan di Gaza sehingga menjadikannya tidak boleh didiami.-AFP

ROSLINA BINTI DIN