fb fb fb fb fb

Serang balas Iran gegar Israel

Bandar Tel Aviv dibedil Iran. - Foto AFP

TEL AVIV, 14 Jun – Israel mula menerima serangan balas Iran pada Jumaat malam apabila Angkatan Bersenjata Republik Islam Iran melancarkan gelombang serangan ke atas wilayah itu.

Serangan balas tersebut berjaya menembusi sistem pertahanan udara Israel dan memusnah beberapa bangunan di Ramat Gan dan menggegarkan Tel Aviv dan Baitulmaqdis.

Serangan juga turut menjejaskan bangunan Kementerian Perang Israel dan beberapa lokasi berprofil tinggi.

Tindakan Tehran itu memaksa pihak rejim membunyikan siren amaran di seluruh Israel menggesa warganya mencari tempat perlindungan.

Menurut Agensi Berita Iran (IRNA), serangan peluru berpandu itu berlaku beberapa jam selepas rejim Israel menyerang beberapa lokasi di wilayah Iran, termasuk bangunan kediaman.

Serangan Israel sebelum ini memusnahkan tapak nuklear bawah tanah Natanz dan mengorbankan beberapa komander tentera kanan Iran, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan konflik serantau yang lebih meruncing.

Menurut pegawai Amerika Syarikat, tenteranya telah membantu memintas beberapa peluru berpandu Iran yang menuju ke arah Israel.

Di kawasan Tel Aviv, perkhidmatan ambulans Israel melaporkan lima orang mengalami kecederaan termasuk seorang parah terkena serpihan peluru berpandu mengenai kawasan bandar itu.

Tentera rejim mendakwa, sebahagian besar daripada hampir 10 peluru berpandu dilancarkan Tehran berjaya dipintas sebelum mengenai sasaran. - REUTERS

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM