DASU, 14 Jun - Terowong terpanjang bagi projek pemindahan Lebuhraya Karakoram yang dibina oleh China berjaya ditembusi pada Khamis.
Terowong Logro-B sepanjang 1,403 meter itu merupakan sebahagian daripada lebuh raya yang menghubungkan Pakistan dengan China, dan direka bentuk mengikut piawaian reka bentuk terowong China.
Projek penyelarasan semula laluan Lebuhraya Karakoram sejauh 241 kilometer ini dilaksanakan oleh China Civil Engineering Construction Corporation (CCECC), merangkumi tujuh terowong dan tiga jambatan di kawasan pergunungan di utara Pakistan.
Lebuh raya asal Karakoram telah dibina pada tahun 1959, terdedah kepada keadaan semula jadi yang mencabar akibat kejadian bencana seperti gempa bumi dan tanah runtuh yang kerap berlaku, seterusnya menyebabkan laluan tersebut perlu diperbaiki dari semasa ke semasa.
Laluan yang terletak di wilayah Gilgit-Baltistan di utara Pakistan ini juga dikenali sebagai Lebuhraya Persahabatan China–Pakistan, merupakan satu-satunya laluan darat yang menghubungkan Pakistan dengan China. - REUTERS