fb fb fb fb fb

Sepanyol hulur bantuan udara untuk ringankan krisis Gaza

Foto Reuters

GAZA, 1 Ogos – Sepanyol melaksanakan operasi penurunan udara bantuan kemanusiaan ke Gaza melibatkan sebanyak 12 tan bekalan, dalam usaha meringankan penderitaan penduduk akibat krisis kebuluran yang semakin meruncing.

Menurut Kementerian Pertahanan Sepanyol, operasi itu menggunakan pesawat tentera Airbus A400 yang menjatuhkan lebih 5,500 bekalan makanan ke kawasan yang terjejas, melalui sistem penurunan berpayung terjun.

Dalam kenyataan rasmi, kerajaan Sepanyol menyifatkan tindakan itu sebagai langkah untuk membantu menangani "kebuluran disengajakan" yang berpunca daripada sekatan kemanusiaan dikenakan Israel terhadap Gaza.

Rakaman video yang dikongsi kementerian berkenaan memaparkan pemandangan gersang di Gaza serta detik-detik bekalan diturunkan dari pesawat dan mendarat ke tanah menggunakan payung terjun.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini memberi amaran bahawa Gaza kini berada di ambang kebuluran, berdasarkan penilaian terkini Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) yang dikeluarkan pada 30 Julai.

PBB turut melaporkan peningkatan kadar kekurangan zat makanan, serta kematian melibatkan kanak-kanak bawah lima tahun akibat kebuluran, disebabkan akses bantuan kemanusiaan yang sangat terhad ke wilayah terbabit. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN