fb fb fb fb fb

Kemboja calonkan Trump untuk Hadiah Keamanan Nobel

Timbalan Perdana Menteri Kemboja, Sun Chanthol / Foto Reuters

PHNOM PENH, 1 Ogos – Kerajaan Kemboja akan mencalonkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk menerima Hadiah Keamanan Nobel, susulan campur tangan langsung beliau dalam menghentikan konflik sempadan terbaharu antara Kemboja dan Thailand.

Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Kemboja, Sun Chanthol, pada Jumaat yang menyifatkan tindakan Trump telah berjaya membawa keamanan ke rantau Asia Tenggara.

“Trump layak dicalonkan untuk anugerah paling berprestij dunia ini kerana sumbangannya dalam memelihara perpaduan antara negara,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di ibu negara Phnom Penh.

Menurut laporan Reuters, panggilan telefon Trump kepada pemimpin Thailand minggu lalu telah berjaya menamatkan kebuntuan yang berlarutan dalam konflik sempadan paling buruk antara kedua-dua negara sejak lebih satu dekad lalu.

Pertempuran tersebut, yang mencetuskan kebimbangan serantau, telah disusuli dengan gencatan senjata yang dirundingkan di Malaysia.

Sekurang-kurangnya 43 nyawa terkorban dalam insiden itu, kebanyakannya orang awam, manakala lebih 300,000 penduduk terpaksa dipindahkan dari kawasan berisiko. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN