fb fb fb fb fb

Mahkamah EU benarkan Itali percepat penolakan suaka, wajib patuhi syarat ketat

Foto Reuters

LUXEMBOURG, 1 Ogos – Mahkamah Keadilan Kesatuan Eropah (ECJ) memutuskan negara anggota Kesatuan Eropah (EU) dibenarkan mempercepatkan proses penolakan permohonan suaka daripada warga negara yang berasal dari negara yang diklasifikasikan sebagai “selamat”.

Namun begitu, mahkamah tertinggi EU itu menegaskan langkah tersebut hanya sah jika penetapan negara “selamat” itu memenuhi piawaian undang-undang yang ketat, dan pemohon serta mahkamah dibenarkan mengakses serta mencabar bukti yang menyokong klasifikasi berkenaan.

Keputusan itu dibuat susulan satu kes melibatkan dua warga Bangladesh yang diselamatkan di perairan oleh pihak berkuasa Itali, sebelum dipindahkan ke sebuah pusat tahanan di Albania, di bawah pelaksanaan Protokol Itali-Albania.

Permohonan suaka kedua-dua individu itu ditolak oleh pihak Itali berdasarkan pengelasan Bangladesh sebagai negara “selamat”, yang membolehkan permohonan mereka disingkirkan melalui prosedur pantas.

Keputusan mahkamah itu dijangka memberi kesan besar terhadap dasar suaka di seluruh EU, terutama dalam menangani permohonan dari negara-negara yang disenaraikan sebagai selamat, sambil mengekalkan keperluan perlindungan hak pemohon. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN