MADRID, 16 September – Kerajaan Sepanyol membatalkan kontrak bernilai hampir €700 juta bagi pembelian 12 sistem pelancar roket SILAM yang direka syarikat Israel, Elbit Systems.
Tindakan itu menyusul selepas Perdana Menteri Pedro Sanchez mengumumkan larangan terhadap urus niaga ketenteraan dengan Israel, sebagai respons terhadap serangan berterusan rejim Zionis di Gaza.
Selain itu, Sepanyol turut membatalkan kontrak bernilai €287 juta untuk pelancar peluru berpandu anti-kereta kebal yang sepatutnya dikilangkan di bawah lesen syarikat Israel.
Pentadbiran Sanchez turut dilaporkan sedang menilai semula keseluruhan penggunaan senjata dan teknologi Israel dalam angkatan tenteranya sebagai langkah berperingkat untuk menghentikan sebarang kebergantungan.
Langkah ini memperlihatkan pendirian tegas Sepanyol terhadap tindakan Israel di Gaza, yang digambarkannya sebagai genosid.
Ketegangan diplomatik turut memuncak apabila Sepanyol mengiktiraf negara Palestin pada tahun 2024, menyebabkan Israel menarik balik duta besarnya, dan Sepanyol pula memanggil pulang duta mereka dari Tel Aviv minggu lalu.