fb fb fb fb fb

Seoul adakan rundingan peringkat tinggi sebelum tarikh akhir tarif AS

Foto REUTERS

SEOUL, 26 Julai - Pejabat Presiden Korea Selatan pada Sabtu berikrar akan menggandakan usaha menerusi rundingan perdagangan dengan Washington, dengan beberapa pertemuan peringkat tinggi dijadual minggu depan bagi mengelak pelaksanaan tarif baharu oleh Amerika Syarikat.

Menurut agensi berita Yonhap, pengumuman itu dibuat susulan mesyuarat tergempar yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Staf Presiden bagi Hal Ehwal Dasar, Kim Yong Beom dan Penasihat Keselamatan Negara, Wi Sung-lac, awal Sabtu.

Mesyuarat berkenaan menilai kemajuan rundingan yang sedang berjalan serta menyelaras tindak balas Seoul menjelang tarikh akhir 1 Ogos yang ditetapkan bagi pelaksanaan tarif baharu oleh pihak Amerika Syarikat.

Antara anggota Kabinet utama yang hadir termasuk Menteri Kewangan Koo Yun Cheol, Menteri Luar Cho Hyun dan Ketua Pejabat Penyelarasan Dasar Kerajaan Yoon Chang Ryeol.

Menteri Industri Kim Jung Kwan dan Menteri Perdagangan Yeo Han Koo yang kini mengetuai rundingan di Amerika Syarikat, turut menyertai mesyuarat melalui sidang video.

Menurut pejabat presiden, pihak AS menunjukkan "minat yang tinggi" terhadap sektor pembinaan kapal dan kedua-dua negara bersetuju memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang itu.

Bagi mempercepatkan perbincangan, Koo dijadual bertemu dengan Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent, manakala Cho akan mengadakan rundingan dengan Setiausaha Negara Marco Rubio pada minggu hadapan.

Rundingan tertumpu kepada meredakan ancaman tarif "timbal balik" sebanyak 25 peratus yang bakal dikenakan oleh AS, termasuk kemungkinan duti tambahan ke atas produk keluli dan automobil yang dijangka berkuat kuasa mulai 1 Ogos.- BERNAMA-YONHAP

ROSLINA BINTI DIN