GAZA, 26 Julai – Seramai 11 rakyat Palestin dilaporkan terkorban dalam serangan tentera Israel di Gaza pada Sabtu, ketika wilayah itu terus terjejas akibat konflik berterusan yang berlarutan lebih 21 bulan.
Jurucakap Agensi Pertahanan Awam Gaza Mahmud Bassal berkata, jumlah korban termasuk empat individu yang maut dalam serangan udara di kawasan Al-Rimal, bandar Gaza, yang terletak di utara wilayah itu.
Seorang lagi mangsa terbunuh, selepas tentera Israel melepaskan tembakan ke arah orang awam yang sedang menunggu bantuan kemanusiaan di kawasan barat laut Gaza, menurut kenyataan agensi itu.
Menurut saksi, ribuan orang berkumpul di kawasan berkenaan bagi mendapatkan bantuan makanan dan keperluan asas.
Salah seorang daripadanya, Abu Samir Hamoudeh, 42, berkata pasukan tentera melepaskan tembakan ketika orang ramai sedang menghampiri pusat pengedaran bantuan yang terletak berhampiran pos tentera Israel di kawasan Zikim, barat laut Sudaniyah.
Dalam kejadian berasingan, seorang individu terbunuh akibat serangan dron berhampiran bandar Khan Yunis di selatan Gaza, manakala seorang lagi maut akibat tembakan artileri di kem pelarian Al-Bureij, di bahagian tengah wilayah itu.
Dalam kenyataan berasingan, tentera Israel memaklumkan operasi ketenteraan di Gaza masih diteruskan dan mendakwa telah membunuh anggota sasaran yang disyaki menanam bahan letupan untuk menyasarkan pasukan itu.
Tentera udara Israel juga telah melancarkan serangan ke atas lebih 100 sasaran yang dikenal pasti sebagai lokasi berkaitan kumpulan Hamas di seluruh Gaza dalam tempoh 24 jam lalu.
Mahmud Bassal turut memaklumkan bahawa pasukan pertahanan awam telah menemui 12 lagi mayat mangsa di kawasan Koridor Morag di utara Rafah, susulan serangan udara Israel pada malam sebelumnya.
Operasi mencari dan menyelamat itu dilakukan dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (OCHA). Kesemua mayat telah dibawa ke Hospital Nasser di Khan Yunis.
Israel melancarkan serangan berskala besar ke atas Gaza dan menyebabkan 59,676 rakyat Palestin terkorban yang majoritinya orang awam, menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas.-AFP