fb fb fb fb fb

Ribuan berhimpun di kediaman PM Britain protes krisis makanan di Gaza

Foto REUTERS

LONDON, 25 Julai – Lebih 2,000 orang penunjuk perasaan menyertai perhimpunan di hadapan kediaman Perdana Menteri Britain di Downing Street, sebagai tanda bantahan terhadap krisis makanan yang semakin memburuk di Gaza.

Penunjuk perasaan menyuarakan kemarahan terhadap kebuluran yang sedang melanda wilayah Palestin tersebut.

Protes yang pada awalnya dijadualkan berlangsung di atas kaki lima itu berkembang sehingga menutupi laluan utama Whitehall, menyebabkan kesesakan lalu lintas dan sekurang-kurangnya sebuah bas pelancong terperangkap.

Wartawan Reuters yang berada di lokasi menganggarkan jumlah kehadiran mencecah antara 2,000 hingga 3,000 orang, menggambarkan suasana sebagai penuh dengan bunyi senduk menghentak periuk, seolah-olah satu isyarat kecemasan yang menyayat hati.

Beberapa penunjuk perasaan menyatakan bahawa mereka menyertai perhimpunan itu selepas melihat gambar kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat makanan yang disiarkan dalam media.

Menurut pihak berkuasa kesihatan di Gaza, semalam sembilan lagi rakyat Palestin maut dalam tempoh 24 jam akibat kebuluran atau kekurangan zat makanan. Puluhan kematian telah direkodkan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kerana kebuluran.

Pihak Israel seperti biasa mempertahankan tindakannya dengan menyatakan bahawa jumlah bekalan makanan yang dibenarkan masuk ke Gaza adalah mencukupi dan menuduh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) gagal mengagihkan bantuan tersebut dengan berkesan.

ROSLINA BINTI DIN