fb fb fb fb fb

Konflik Thailand-Kemboja: Angka korban meningkat kepada 33 orang

Foto AFP

BANGKOK, 27 Julai – Pertempuran antara Thailand dan Kemboja memasuki hari ketiga pada Sabtu, dengan angka korban meningkat kepada 33 orang, menjadikannya konflik sempadan paling berdarah dalam tempoh beberapa tahun. Susulan itu, Kemboja menggesa agar gencatan senjata segera dilaksanakan.

Kementerian Pertahanan Kemboja mengesahkan 13 kematian, termasuk lapan orang awam dan lima anggota tentera, manakala 71 orang cedera.

Pihak berkuasa Thailand pula melaporkan 13 orang awam dan tujuh anggota tentera terbunuh, menjadikan jumlah keseluruhan korban melebihi insiden pertempuran terdahulu, antara 2008 hingga 2011.

Konflik itu juga menyebabkan lebih 138,000 penduduk Thailand dipindahkan dari kawasan sempadan, manakala lebih 35,000 rakyat Kemboja kehilangan tempat tinggal.

Pertikaian sempadan yang berlarutan sejak sekian lama akhirnya mencetuskan konflik berskala besar pada Khamis, melibatkan penggunaan jet pejuang, artileri, kereta kebal dan pasukan tentera darat.

Situasi tegang itu turut mendorong Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan mesyuarat tergempar pada Jumaat bagi membincangkan krisis berkenaan.

Selepas mesyuarat tertutup Majlis Keselamatan di New York, Duta Besar PBB Kemboja Chhea Keo berkata negaranya mahu gencatan senjata.

“Kemboja meminta gencatan senjata serta-merta tanpa syarat dan menyeru penyelesaian secara aman terhadap pertikaian ini,” katanya kepada media.

Sementara itu, Menteri Luar Thailand, Maris Sangiampongsa, dalam kenyataan pada Sabtu berkata sebarang rundingan hanya boleh diteruskan sekiranya Kemboja menunjukkan “keikhlasan sebenar untuk menamatkan konflik.”

“Saya menyeru Kemboja menghentikan pencabulan terhadap kedaulatan Thailand dan kembali kepada penyelesaian melalui dialog dua hala,” katanya.-AFP

ROSLINA BINTI DIN