fb fb fb fb fb

Seorang lelaki ditahan, pegawai tempatan dihukum dalam kes wanita dirantai di China

 

Foto Google

BEIJING, 23 Februari- Pihak berkuasa China berkata pada hari Rabu mereka telah menahan seorang lelaki yang dituduh merantai isterinya di dalam sebuah pondok dan menjatuhkan hukuman kepada sekurang-kurangnya 17 pegawai tempatan berhubung kes yang telah mencetuskan kemarahan awam.

Insiden itu mencetuskan perdebatan sengit mengenai kesihatan mental dan pemerdagangan manusia pada Januari selepas video seorang penulis blog menunjukkan seorang wanita dengan rantai dan mangga di lehernya dalam cuaca sejuk di wilayah Jiangsu.

Pihak berkuasa wilayah berkata wanita itu didapati menghidap skizofrenia dan telah dijual beberapa kali, termasuk sekali pada 1998 dengan harga ¥5,000 selepas diambil dari kampungnya di wilayah barat daya Yunnan.

Seorang pegawai kerajaan berkata "tindakan khas untuk menyiasat secara menyeluruh serta membetulkan pencabulan hak" sedang diambil.

Wanita itu yang dikenali sebagai "Xiaohuamei", yang bermaksud "bunga plum kecil" ialah ibu kepada lapan anak dan kini sedang menerima rawatan di hospital.

Pegawai di kawasan tempat dia ditemui pada mulanya menafikan dakwaan mengenai sebarang penculikan dan pemerdagangan manusia tetapi siasatan peringkat lebih tinggi telah dilancarkan selepas bantahan awam.

Xiaohuamei dikatakan hilang selepas tinggal selama beberapa bulan dengan seorang lelaki yang telah membelinya di Jiangsu, dan tidak lama kemudian dibawa masuk oleh pasangan yang mengendalikan sebuah hotel.

Dia kemudian dijual semula kepada dua orang lain sebelum dibeli oleh keluarga suaminya sekarang.

Suaminya yang bernama Dong, telah ditangkap pada hari Selasa bersama dua lagi individu yang dituduh memperdagangkan wanita tersebut, kata pihak berkuasa.

Siasatan sedang dijalankan terhadap enam lagi individu yang didakwa terlibat dalam memperdagangkannya, manakala lapan pegawai tempatan telah diberhentikan daripada jawatan mereka manakala sembilan lagi dikenakan pelbagai hukuman.

Kes itu terus menimbulkan kemarahan dengan hashtag berkaitan di platform Weibo menarik 580 juta tontonan sejurus selepas berita tentang hukuman itu disiarkan.

Dasar satu anak di China hanya dilonggarkan pada 2016 dan telah menyebabkan kekurangan wanita disebabkan keutamaan tradisional untuk kanak-kanak lelaki.

Ketidakseimbangan jantina di China dipercayai telah mendorong kepada aktiviti pemerdagangan manusia, menurut laporan kongres Amerika Syarikat.- AFP

Media Baharu