fb fb fb fb fb

India sumbang 2,500 tan gandum kepada Afghanistan

(Konvoi 50 buah lori membawa muatan gandum dilepaskan oleh Setiausaha Luar India Harsh Vardhan Shringla dan duta Afghanistan ke India Farid Mamundzay) FOTO AFP

 

WAGAH, 23 Februari- India telah menghantar 50 lori membawa muatan 2,500 tan gandum ke Afghanistan yang dilanda krisis selepas Pakistan memberikan kebenaran "luar biasa" untuk penghantaran itu merentasi negaranya.

Negara-negara Barat menyekat bantuan selepas pengambilalihan Taliban tahun lalu, menyebabkan Afghanistan menghadapi krisis kemanusiaan yang "menghancurkan" dengan majoriti 28 juta penduduk memerlukan bantuan, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Sebagai tindak balas kepada rayuan daripada PBB, India memutuskan untuk menyumbang 5,000 tan gandum dan konvoi pertama lori telah dilepaskan pada Selasa dalam satu majlis di Amritsar berhampiran sempadan dengan Pakistan.

Pakistan dalam pada itu berkata bahawa mereka "bersetuju atas dasar yang luar biasa" untuk membenarkan penghantaran itu melalui wilayahnya.

Islamabad telah menggantung perdagangan dengan India pada 2019 selepas New Delhi membatalkan sebahagian autonomi Kashmir yang ditadbir India, yang dituntut sepenuhnya oleh kedua-dua negara.

India, yang mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan Afghanistan sebelumnya juga telah menyumbangkan 500,000 dos vaksin COVID-19, 13 tan ubat-ubatan dan pakaian musim sejuk.

Farid Mamundzay, duta Afghanistan ke India, dalam satu ciapan Twitter berkata sumbangan gandum tersebut adalah "salah satu sumbangan makanan terbesar yang dilakukan oleh mana-mana negara untuk menyokong (Afghanistan) dalam masa yang sukar ini."- AFP

Media Baharu