ATHENS, 19 Jun- Seorang lagi warga Amerika Syarikat berusia 55 tahun ditemukan maut di pulau Mathraki di Greece, kata polis pada Isnin.
Kematian pelancong itu adalah yang ketiga dalam tempoh seminggu berikutan keadaan cuaca panas luar biasa.
Suhu melonjak melebihi 40 darjah Celsius awal bulan ini dan ia telah menyebabkan beberapa kematian pelancong di seluruh negara Mediterranean.
"Pada awalnya ia menunjukkan suhu biasa, namun apabila mereka semua pergi mendaki berlaku peningkatan suhu," kata jurucakap polis untuk Aegean Selatan, Petros Vassilakis kepada Reuters.
Mayat penyampai TV British Michael Mosley ditemukan di Pulau Symi pada 9 Jun selepas melakukan empat hari operasi mencari dan menyelamat menggunakan pesawat, dron dan bot. Mangsa dipercayai berjalan-jalan seorang diri ketika keadaan suhu tinggi sebelum dia menghilang.
Bagaimanapun polis tidak berkongsi identiti warga Amerika Syarikat yang ditemukan berhampiran pantai di Mathraki pada Ahad. Dia dipindahkan ke Pulau Corfu untuk menjalankan bedah siasat, kata seorang pegawai polis kepada Reuters.
Sementara itu, seorang pelancong Belanda berusia 74 tahun ditemukan mati di Pulau Samos pada Sabtu dan dua pejalan kaki juga ditemukan mati di Crete pada 5 Jun.
Pada masa sama pasukan penyelamat juga sedang mencari dua wanita Perancis, berusia 73 dan 64 tahun, di Pulau Sikinos, dan seorang anggota polis Amerika Syarikat berusia 59 tahun di Amorgos.
"Terdapat dua operasi mencari sedang dijalankan di pulau-pulau lain. Polis, bomba dan sukarelawan telah dikerahkan dibantu oleh dron dan anjing penyelamat," kata Vassilakis.- REUTERS