fb fb fb fb fb

Seorang lagi komander kumpulan Hizbullah maut di selatan Beirut

Hizbullah/ Foto Fail AFP

BEIRUT, 25 September- Seorang komander kumpulan Hizbullah maut beberapa jam selepas tentera Israel melancarkan serangan di pinggir selatan Beirut yang meragut enam yang lain, lapor pihak berkuasa Lubnan.

Kumpulan Hizbullah yang disokong Iran itu dalam satu kenyataan berkata, "komander Ibrahim Mohammed Kobeissi yang dalam perjalanan ke Baitulmaqdis" maut dalam serangan peluru berpandu dan roket yang dilancarkan Israel.

Sementara itu Kementerian Kesihatan Lubnan dalam satu kenyataan juga memaklumkan "serbuan Israel ke atas Ghobeiri di pinggir selatan Beirut meragut enam nyawa serta mencederakan 15 yang lain."

Tentera Israel berkata, Kobeissi mengetuai beberapa unit roket, termasuk unit peluru berpandu tepat dan dibantu peluru berpandu komander lain serta pasukan roket Hizbullah.

"Kobeissi merupakan sumber pengetahuan penting dalam bidang peluru berpandu dan mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin kanan tentera Hizbullah dan sekurang-kurangnya dua komander lain dari pasukan Kobeissi juga maut," katanya.

Serangan itu dilakukan sehari selepas Israel melancarkan "serangan bersasar" di pinggir bandar selatan Beirut.

Namun Hizbullah memaklumkan komander ketiganya Ali Karake masih hidup dan telah berpindah ke tempat selamat. Perkara berkenaan diketahui menerusi sumber yang rapat dengan kumpulan itu yang memaklumkan kepada AFP bahawa serangan pada Isnin menyasarkan komander ketiganya.

Hizbullah dan Israel sering berbalas tembakan hampir setiap hari sejak perang Gaza meletus sejak Oktober lalu.

Tetapi keganasan telah meningkat secara mendadak dalam beberapa hari kebelakangan ini sekali gus meningkatkan kebimbangan berlakunya perang lebih serius.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI