fb fb fb fb fb

Senator AS desak akses dan perlindungan terhadap wartawan Gaza

orang ramai mengusung jenazah wartawan Al Jazeera, Anas Al Sharif, bersama rakan sekerjanya Mohammed Qreiqeh, Ibrahim Zaher, Mohammed Noufal dan seorang lagi wartawan, yang terbunuh dalam serangan udara Israel di Bandar Gaza/Foto REUTERS

WASHINGTON, 21 Ogos – Seramai 17 senator Amerika Syarikat menggesa Setiausaha Negara, Marco Rubio, supaya mendesak Israel memberikan akses dan perlindungan kepada wartawan di Gaza, susulan serangan udara Israel minggu lalu yang mengorbankan sekumpulan wartawan Palestin.

“AS mesti menegaskan kepada Israel bahawa mengharamkan, menapis organisasi media, serta menyasarkan atau mengancam wartawan adalah tidak boleh diterima dan mesti dihentikan,” kata para senator Demokrat itu dalam satu kenyataan.

Dalam surat tersebut, mereka menuntut kerajaan AS untuk menekan Israel supaya melindungi wartawan dan membenarkan media antarabangsa memasuki wilayah yang dikepung itu.

Serangan minggu lalu mengorbankan empat wartawan Al Jazeera, termasuk koresponden Qatari, Anas al-Sharif, serta dua wartawan bebas lain, sekali gus mencetuskan kecaman antarabangsa.

“Tanpa penjelasan kukuh mengenai objektif ketenteraan serangan ini, ia kelihatan seperti pengakuan terbuka Israel bahawa mereka menyasarkan wartawan yang merupakan satu pelanggaran undang-undang antarabangsa,” menurut surat itu.

Antara yang menandatangani surat tersebut ialah Senator Elizabeth Warren (Massachusetts), Brian Schatz (Hawaii), Tim Kaine (Virginia), dan Senator bebas Bernie Sanders (Vermont).

Dalam perkembangan lain, The Washington Post melaporkan seorang pegawai media Jabatan Negara AS dipecat selepas mencadangkan Washington menyampaikan perutusan takziah atas kematian wartawan di Gaza.

Menurut Reporters Without Borders (RSF), lebih 200 wartawan terbunuh di Gaza sejak perang bermula, termasuk petugas Al Jazeera.

Dengan Gaza masih dikepung, agensi media antarabangsa bergantung kepada liputan wartawan tempatan untuk mendapatkan maklumat terkini. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD