(Foto Reuters)
CHINA, 3 Ogos- Kumpulan terakhir melibatkan lebih 300 penumpang yang terperangkap dalam kereta api di Daerah Mentougou, Beijing akibat hujan lebat selamat tiba di Stesen Beijing Fengtai, awal pagi Khamis.
Kereta api Z180 dan K396, sebelum itu terkandas di Daerah Mentougou akibat banjir yang dicetuskan oleh hujan dan kerosakan rel, sejak Ahad.
Usaha membawa keluar semua penumpang dilaksanakan dengan bantuan China Railway Corporation, pihak berkuasa tempatan dan pasukan polis bersenjata.
Untuk membantu penumpang dengan lebih baik, kakitangan di Stesen Kereta Api Fengtai turut menyediakan bekalan kecemasan termasuk kerusi roda dan menubuhkan pasukan kerja khas.
"Kami telah menubuhkan empat pasukan di pintu keluar, membimbing penumpang ke tempat pengambilan teksi dan tempat letak kereta untuk kereta persendirian," kata Timbalan Ketua Stesen Kereta Api Beijing Fengtai, Wang Jian.
Timbalan Ketua Bahagian Publisiti Stesen Kereta Api Kerajaan Perbandaran Beijing, Li Ran pula memberitahu kira-kira 950 teksi disediakan untuk perkhidmatan pemindahan terus penumpang.
Sejak awal minggu lalu, ibu kota China mengalami hujan lebat yang dibawa oleh Taufan Doksuri.
Hujan lebat berterusan itu telah mencetuskan banjir dan jalan rosak, menyebabkan penumpang di tiga kereta api K396, Z180 dan K1178 terkandas di Mentougou, salah satu kawasan paling teruk terjejas.-REUTERS
(Usaha membawa keluar semua penumpang dilaksanakan dengan bantuan
China Railway Corporation, pihak berkuasa tempatan dan pasukan polis bersenjata/Foto Reuters)