fb fb fb fb fb

Semua 242 penumpang dan anak kapal Air India maut

Foto AFP

AHMEDABAD, 12 Jun - Kesemua 242 penumpang termasuk anak kapal pesawat Air India yang terhempas pada Khamis (12 Jun) di Ahmedabad telah meninggal dunia, lapor akhbar tempatan Indian Express.

Menurut polis, lebih 100 mayat hangus teruk dan dibawa ke hospital berdekatan untuk bedah siasat.

Penumpang termasuk 217 individu dewasa, 11 kanak-kanak dan dua bayi. Daripada mereka, 169 merupakan warga India, 53 Britain, tujuh Portugis, dan seorang Kanada.

"Bangunan di mana ia telah terhempas adalah asrama sebuah kolej perubatan, kami telah membersihkan hampir 70% hingga 80% daripada kawasan itu dan akan membersihkan selebihnya tidak lama lagi," kata pegawai kanan polis itu kepada pemberita.

Sebahagian badan pesawat itu bertaburan di sekeliling bangunan di mana ia terhempas, gambar dan video yang tersebar di media sosial menunjukkan ekor pesawat tersangkut di atas bangunan.

Sementara itu, data Rangkaian Keselamatan Penerbangan, Flightradar24 memaklumkan pesawat Boeing 787-8 Dreamliner merupakan salah satu pesawat penumpang paling moden dalam perkhidmatan.

"Ia adalah kemalangan pertama untuk Dreamliner, yang mula terbang secara komersial pada 2011, pesawat yang terhempas pada khamis itu terbang buat kali pertama pada 2013 dan dihantar kepada Air India pada Januari 2014," kata Flightradar24. -REUTERS

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI