fb fb fb fb fb

Sembilan maut pesawat terhempas di Sudan

(Lapangan Terbang Port Sudan)

PORT SUDAN, 24 Julai- Sembilan orang maut termasuk empat askar, apabila sebuah pesawat terhempas di lapangan terbang Port Sudan pada petang Ahad.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh tentera, seorang kanak-kanak terselamat daripada nahas pesawat Antonov di lapangan terbang di timur Sudan itu.

Tentera menambah, pesawat tersebut terhempas dipercayai akibat gangguan teknikal.

Lapangan terbang Port Sudan adalah satu-satunya lapangan terbang yang masih beroperasi di negara itu, di mana peperangan telah melanda negara berkenaan kini memasuki hari yang ke-100, memaksa rakyat meniggalkan rumah mereka.

Sejak 15 April, pertempuran yang diketuai oleh Abdel Fattah al-Burhan dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera, yang diketuai oleh Mohamed Hamdan Daglo, telah membunuh lebih 3,900 orang, menurut angka terkini daripada Projek Data Lokasi & Peristiwa Konflik Bersenjata (ACLED).

Lebih daripada 2.6 juta orang telah dipindahkan, kebanyakannya dari Khartoum, kata Pertubuhan Antarabangsa Untuk Migrasi.

Beribu-ribu yang kekal di ibu negara, khususnya di Khartoum Utara, terperangkap tanpa air sejak stesen air tempatan rosak pada permulaan perang.

Penduduk mendakwa ketika ini mereka hanya bergantung kepada bekalan elektrik yang terputus-putus manakala makanan hampir habis.

Di seluruh negara, kira-kira satu pertiga daripada penduduk mengalami kelaparan walaupun sebelum perang bermula, kata Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Sementara di Omdurman, pemain biola terkenal tempatan Khaled Senhouri dilaporkan mati akibat kelaparan minggu lalu.

Terdahulu dalam catatan di laman sosialnya, Senhouri berkata dia tidak dapat meninggalkan rumah kerana pertempuran dan telah cuba bertahan dengan bekalan yang sedia ada namun tidak mencukupi.-AFP


(FOTO HIASAN / REUTERS)

Media Baharu