fb fb fb fb fb

Menteri Kehakiman NZ letak jawatan

(Kiri Allan)

SYDNEY, 24 Julai- Menteri Kehakiman New Zealand meletak jawatan pada Isnin selepas ditangkap berhubung kemalangan kereta pada hari sebelumnya menjadikan dia menteri keempat yang keluar daripada kabinet dalam tempoh beberapa bulan.

Kiri Allan telah meletak jawatan daripada semua portfolionya serta-merta, kata Perdana Menteri Chris Hipkins, selepas dia ditahan polis berhubung kemalangan itu di ibu negara Wellington pada Ahad.

Allan didakwa menggunakan kenderaan secara cuai dan enggan memberikan bekerjasama yang sebaiknya dengan pegawai polis.

Allan kemudiannya didapati memandu dalam keadaan mabuk dan mempunyai bacaan alkohol yang berlebihan, kata Hipkins pada sidang akhbar.

"Dia faham bahawa mengekalkan waran menterinya tidak boleh dipertahankan, terutamanya bagi seorang menteri kehakiman untuk didakwa atas kesalahan jenayah," kata Hipkins.

"Walaupun tindakannya tidak boleh dimaafkan, saya diberi maklumat bahawa dia mengalami tekanan emosi yang melampau ketika kejadian."

Allan ialah menteri keempat meletak jawatan sejak Mac daripada kerajaan Buruh berhaluan tengah dan menjelang pilihan raya pada Oktober.

Tinjauan pendapat mencadangkan pertandingan rapat dengan pembangkang utama Parti Kebangsaan.

Allan, yang juga Menteri Pembangunan Wilayah, Menteri Pemuliharaan, dan Menteri Pengurusan Kecemasan, kembali bertugas di parlimen Isnin lalu selepas mengambil cuti beberapa hari kerana masalah kesihatan mental.

Pernah disebut-sebut sebagai bakal pengganti perdana menteri terdahulu Jacinda Ardern, Allan berkata beliau akan mengambil masa untuk mempertimbangkan masa depannya dalam politik.

"Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, saya telah menghadapi beberapa masalah peribadi. Saya mengambil cuti untuk menanganinya, dan percaya saya tidak apa-apa untuk menyesuaikan cabaran itu dengan tekanan menjadi seorang menteri. Tindakan saya semalam menunjukkan saya tidak okay," kata Allan dalam satu kenyataan.


(Kiri Allan)

Media Baharu