fb fb fb fb fb

10 orang maut, seorang terperangkap bumbung gimnasium runtuh di China

(Foto Reuters)

BEIJING, 24 Julai- 10 orang dilaporkan maut, manakala seorang masih terperangkap selepas bumbung gimnasium sekolah runtuh di timur laut China, lapor media kerajaan pada Isnin.

Menurut laporan agensi berita Xinhua, gimnasium di Sekolah Menengah No. 34 di Qiqihar, wilayah Heilongjiang itu runtuh pada petang Ahad.

Setakat pukul 5.30 pagi, 14 orang telah dikeluarkan dari runtuhan.

Empat orang maut di lokasi kejadian, manakala enam meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Rakaman di lokasi kejadian turut disiarkan penyiar milik kerajaan, CCTV, yang memperlihatkan keseluruhan bumbung gimnasium itu runtuh dan pasukan bomba sedang berusaha mencari mangsa terperangkap.

"Operasi mencari dan menyelamat melibatkan hampir 160 anggota dan 39 trak bomba," menurut CCTV.


(Setakat pukul 5.30 pagi, 14 orang telah dikeluarkan dari runtuhan/Foto Reuters)

Siasatan awal mendapati pekerja binaan meletakkan 'perlite', sejenis sebatian pepejal kaca gunung berapi di atas bumbung.

Hujan lebat telah menyebabkan 'perlite' tersebut mengembang dan mengakibatkan bumbung runtuh, menurut Xinhua.

"Mereka yang bertanggungjawab ke atas syarikat pembinaan itu juga telah ditahan polis," lapor agensi berita negara itu.

Kemalangan industri adalah perkara biasa di China disebabkan oleh kelonggaran piawaian keselamatan dan penguatkuasaan yang lemah.

Salah satu kemalangan yang paling teruk berlaku pada 2015 di Tianjin, menyebabkan letupan besar di sebuah gudang kimia mengorbankan sekurang-kurangnya 165 orang.-AFP

Media Baharu